Wednesday, September 28, 2011

Faktor Keberkesanan Proses Pendidikan

Posted by tenangnow | 0 comments
Sesuatu teori pendidikan tidak akan sampai kepada matlamat yang dihajati jika teori atau idea itu tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan. Keberkesanan itu diukur dengan melihat sejauh mana natijah yang dihajati bertunas dan berkembang dalam diri individu yang dididik.

Pendidikan yang tidak berkesan bukan sahaja merugikan tenaga dan wang, tetapi yang dibimbangi ialah menghasilkan natijah yang bertentangan dengan yang dihajati. Oleh itu marilah kita bincangkan factor-faktor yang boleh membawa kepada keberkesanan sesuatu proses pendidikan.



Faktor Pertama: Suri Teladan
 
Faktor pertama yang boleh membawa kepada penghasilan natijah Islam dalam diri anak-anak yang kita didik ialah qudwah hasanah (suri teladan). Kepentingan qudwah hasanah telah dijelaskan di dalam al-Quran yang bermaksud:
“Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu ada contoh teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari qiamat dan dia banyak menyebut nama Allah”.
Peranan pendidik yang boleh diteladani adalah sangat kritikal kerana ia bukan hanya berfungsi untuk mengatur suasana belajar atau menyampaikan isi kandungan sesuatu perkara yang ingin diajarnya, tetapi ia juga berperanan membentuk kefahaman, keyakinan, penghayatan, pekerti serta peribadi anak-anak yang dididik.
Malah perkataan ‘tarbiyah’ itu sendiri antara lain bermaksud: “…pendekatan yang terbaik sekali dalam bertafa’ul (berinteraksi) dengan fitrah insan dan melaksanakan proses pendidikan melalui tunjuk ajar lisan dan teladan”.

Pengajaran dan pendidikan menjadi tidak berkesan apabila tindakan atau perilaku murabbi (pendidik) atau guru bertentangan dengan isi kandungan pengajarannya sendiri. Sebenarnya pengajaran melalui tindakan adalah lebih berkesan daripada pengajaran secara lisan. Peribahasa Melayu sendiri ada menyebutkan, “Jika guru kencing berdiri, murid kencing berlari”. Begitulah pentingnya kedudukan pendidik dalam pembentukan diri anak-anak.

Dalam konteks keluarga pula ibu bapa adalah murabbi kepada anak-anak mereka setiap kali berlaku interaksi antara kedua-dua pihak. Dalam pendidikan di rumah kedudukan ibu bapa sebagai qudwah (contoh) menjadi lebih penting kerana anak-anak lebih terdedah kepada peribadi dan tingkah laku ibu bapanya.
Kita semua menyedari bahawa sungguh banyak pengajaran dan pengalaman yang diperolehi anak-anak melalui interaksi dengan ibu bapa mereka sejak hari pertama kelahiran lagi. Pengajaran dan pengalaman ini mungkin membina keperibadian mereka. Kanak-kanak kecil belajar melalui pengamatan dan meniru perlakuan dan tindak tanduk ibu bapanya. Melalui pengamatan, akan terbentuk sesuatu di dalam mental anak-anak dan akan menjadi satu pelajaran kepada mereka. Oleh itu, sesuatu tingkah laku ibu bapa yang dilakukan secara berterusan ataupun sekurangnya berkali-kali, akan membentuk proses pengukuhan dalam diri anak-anak. Akhirnya tindakan tersebut akan menjadi sebati dengan peribadi anak-anak.

Saya berpendapat pada tahap paling awal, anak-anak akan terdidik melalui pengamatan dan pemerhatiannya. Misalnya, apabila anak-anak (mungkin berumur dua tahun) mendapati setiap kali azan dilaungkan di surau yang berdekatan, bapanya bergegas menuju ke surau atau ahli keluarganya bersiap-siap untuk mendirikan solat bersama-sama, lama-kelamaan anak kecil itu akan memahami keperluan untuk memberikan tindak balas yang sewajarnya kepada laungan azan. Perkara itu berlaku walaupun anak tersebut tidak memahami apa itu azan dan apakah tindakan yang perlu dibuat sebagai respons setiap kali azan dilaungkan. Begitu juga jika anak kecil itu melihat bapanya membaca al-Quran setiap kali selepas solat Maghrib. Setelah memerhatikan beberapa kali, anak itu sudah boleh menjangkakan keperluan bapanya dengan cara si anak itu sendiri mengambil mushaf yang sering digunakan dan memberikan kepada bapanya. Inilah yang dikatakan pendidikan atau pengarahan secara teladan.

Saya pernah membaca dalam tulisan asy-Syahid Sayid Qutb yang menceritakan tangisan bapanya setiap kali mendirikan solat serta ketekunan dan kesungguhan ibunya membaca al-Quran, meninggalkan kesan yang mendalam di dalam jiwanya sehingga beliau sendiri menghayati rasa nikmat beribadah kepada Allah SWT.
Pakar pendidikan di barat membuat kesimpulan bahawa anak-anak kecil (sejak umur beberapa bulan lagi) menerima rangsangan melalui indera mereka. Rangsangan itu meninggalkan kesan ke atas pembangunan diri mereka seperti pembinaan minda, perbendaharaan kata, gerak geri dan tingkah laku. Oleh itu, ibu bapa bukan sahaja perlu menghiasi rumah dengan bahan-bahan yang boleh merangsang peribadi anak-anak (termasuk pemilihan barang-barang permainan yang sesuai), tetapi juga menghiasi tindakan dan perilaku mereka sendiri. Keadaan itu sebenarnya tidak terhad sewaktu berinteraksi dengan anak tetapi juga sewaktu interaksi antara ibu dan bapa sendiri, terutamanya sewaktu di depan anak-anak. Sebagai contoh, sebahagian ibu bapa sering membimbing anak-anak dengan teriakan negatif seperti “Jangan usik ini”, “Jangan buat itu” atau “Jangan pegang”. Tindakan itu mungkin menyebabkan anak-anak menafsirkan bahawa membuat ujikaji atau melakukan suatu yang kreatif adalah satu kesalahan.




Faktor Kedua: Persekitaran
Faktor kedua ialah persekitaran yang membina dan memberangsangkan sesuai dengan pendidikan yang dilaksanakan. Hiasan dalam rumah sewajarnya merangsang dan memperkukuhkan nilai-nilai yang hendak dipupuk di dalam diri anak-anak. Suasana dalam rumah bukan sahaja perlu bersih daripada perhiasan yang terlalu mewah dan diharamkan oleh syara’, tetapi juga mestilah boleh menjuruskan anak-anak kepada hakikat ‘ubudiyah’ kepada Allah SWT dan mencintai Rasulullah SAW. Oleh itu, hiasan di dalam rumah perlu dirancang untuk menjuruskan anak-anak kepada hakikat tauhid kepada Allah. Dinding rumah dan bilik bolehlah dihiasi dengan gambar pemandangan yang menunjukkan ciptaan Allah SWT seperti pemandangan gunung, matahari dan bulan serta dihiasi pula dengan ayat (berserta maknanya) yang sesuai dengan gambar tersebut.

Sekiranya anak-anak itu sudah boleh melukis, galakkan mereka melukis gambar-gambar seperti itu dan tampalkan di dinding bilik mereka. Ini bukan sahaja boleh memenuhi matlamat untuk menghiasi rumah tetapi juga memupuk bakat dan membina keyakinan diri anak-anak.

Faktor Ketiga: Kemahiran Ibubapa
Faktor ketiga ialah kefahaman serta kemahiran ibu bapa mendidik dengan mengambil kira tahap perkembangan umur dan kemampuan anak-anak. Kefahaman yang terpenting sekali ialah kefahaman terhadap pendidikan yang dituntut oleh Islam. Kefahaman yang tepat dan mendalam membolehkan anak-anak dibimbing peringkat demi peringkat sehingga tasawwur (prinsip) Islam terbina di dalam diri mereka.
Kefahaman dalam aspek perkembangan anak-anak adalah perlu bukan sahaja sewaktu mereka sudah menjangkau usia dua atau tiga tahun, sebaliknya sejak peringkat kelahirannya sehingga ia mula menunjukkan tindak balas terhadap persekitarannya dan seterusnya sewaktu dia sudah berumur hinggalah ke peringkat yang lebih matang.

Selain itu, ibu bapa perlu faham dan mahir untuk meluruskan tabiat atau kelakuan anak-anak apabila berlaku kegelinciran atau penyelewengan daripada sikap, akhlak dan adab keislaman. Dalam hal ini, Islam mempunyai pendekatan yang tersendiri bagi melakukan pembaikan atau rawatan kepada masalah-masalah yang berkaitan dengan tingkah laku anak-anak.

Penutup:
Pendidikan anak-anak merupakan satu tanggungjawab yang perlu beri perhatian serius serta menuntut kesungguhan dan pengorbanan yang tinggi daripada ibu bapa. Masa depan generasi akan datang banyak bergantung kepada cara mereka dibimbing dan dibentuk. Oleh itu, ibu bapa perlu merasakan tanggungjawab ini dan perlu pula melengkapkan diri mereka dengan ilmu dan kemahiran keibubapaan secara Islam.
Jika kita pergi ke kedai-kedai buku, ada banyak buku yang berkaitan dengan keibubapaan yang ditulis oleh tokoh Barat. Saya yakin ramai golongan terpelajar yang mengenali Dr Benjamin Spock, Dr Merriam Stoppard, Anna Montesorri dan Glen Dorman. Nama-nama ini adalah sebahagian sahaja daripada nama-nama yang terkenal di dalam pendidikan keibubapaan dan anak-anak. Selain buku-buku tulisan mereka, juga terdapat majalah-majalah cetakan Barat khusus mengenai keibubapaan.
Walaupun terdapat manfaat daripada sumber-sumber itu, kita perlu sedar bahawa mereka mempunyai falsafah dan matlamat tersendiri dalam mendidik anak-anak. Sebagai Muslim kita mempunyai falsafah dan matlamat yang berlainan sama sekali daripada mereka. Oleh itu kita perlu merujuk kepada tulisan-tulisan yang dihasilkan oleh ulama muktabar, cendekiawan dan tokoh-tokoh pendidikan Islam. Antaranya ialah Dr Abdullah Nasih Ulwan, Muhammad Qutb, Dr Adil Ghanam dan Dr Abdul Rahman an-Nahlawi. Tidak ketinggalan juga ulama-ulama silam seperti Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dan Ibnu Khaldun.
Seperkara yang tidak kurang pentingnya ialah ramai ibu bapa yang merasakan tanggungjawab mereka telah terlaksana dengan menghantar anak-anak mereka ke taman-taman asuhan atau tadika Islam sehingga mereka hamper-hampir tidak lagi berperanan dalam proses pembentukan anak-anak. Langkah menswastakan pendidikan anak-anak ini mungkin diambil di atas keperluan tertentu tetapi kita perlu sedar bahawa pembentukan anak-anak masih lagi dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT ke atas diri kita dan kita perlu melakukan dengan segala daya dan upaya demi membentuk mereka menjadi pewaris dan pendokong risalah Islam pada masa depan.


Dipetik daripada Salah Seorang Blog Sahabat
Tinggalkan sebarang komen / cadangan / pertanyaan anda di sini:
*
*
*
*

Visitor

Nak tanya..?

LR's Blogger

Followers

 

My Blog List

Designed by Miss Rinda | Inspirated by Cebong Ipiet | Image by DragonArtz | Author by mybabycanread :)