Friday, January 13, 2012

Didik Anak-anak Membaca Dari Kecil

Posted by Siti Mazlita | 0 comments
Membaca adalah satu pengalaman yang menyeronokkan terutama bagi kanak-kanak yang berumur tiga hingga lima tahun. Pada peringkat ini, kanak-kanak adalah individu yang paling besar keinginannya untuk mempelajari, mengetahui, meneroka, mencuba dan menyelidik. Keupayaan mereka untuk mempelajari dan mengetahui sesuatu perkara akan bertambah-tambah jika mereka dapat mencuba dengan cepat dan berkesan.
Justeru itu, terdapat kata-kata mutiara yang sangat bererti, "Membaca adalah hak setiap kanak-kanak." Ibu bapa yang gagal menunaikan tanggungjawab menyediakan kemahiran membaca akan melihat anak-anak mereka kelak tertinggal dalam dunia persaingan hari ini. Apatah lagi, pelbagai mata pelajaran dan bahan rujukan di sekolah, maktab hinggalah institusi pengajian tinggi banyak diterbitkan dalam bahasa Inggeris.
Mengajar membaca kepada anak-anak bukan sekadar bahasa ibunda, malah sebaiknnya dikembangkan kepada bahasa-bahasa yang lain juga.

Mengapa kemahiran membaca penting?
Keupayaan membaca menjadikan diri kanak-kanak lebih yakin, aktif dan bertenaga. Kemahiran membaca peringkat awal ini berkait dengan tiga agenda kehidupan manusia sepanjang masa.

1. Iktibar wahyu pertama
Wahyu Allah SWT yang diturunkan kepada Rasulullah SAW adalah perintah membaca. Dengan perantaraan membaca dan tulisan, Allah SWT mengajar banyak pengetahuan kepada manusia. Jika perkara membaca ini telah dikuasai oleh kanak-kanak sejak usia tiga tahun, maka lebih banyaklah pengetahuan yang diperolehi. Firman Allah SWT dalam surah Al-Alaq ayat 3 hingga 5 yang bermaksud;
"Bacalah dan Tuhanmulah yang paling pemurah, yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan pada manusia apa yang tidak diketahuinya."

Daripada perspektif Islam, mengajar kanak-kanak adalah satu tugas yang murni, amat penting dan diberi keutamaan. Contoh yang amat jelas kepada kita ialah peristiwa selepas peperangan Badar iaitu Rasulullah SAW telah membuat keputusan mengenai tawanan perang seramai 70 orang. Mereka diberi dua pilihan iaitu bagi tawanan yang punya banyak harta, dia boleh menebus diri dengan wang, manakala bagi yang miskin tetapi pandai membaca, dia dikehendaki mengajar 10 orang kanak-kanak Islam sehingga pandai.

2. Merangsang perkembangan otak
Selepas bayi dilahirkan, biasanya ibu bapa dan keluarga sangat sibuk menyediakan keperluan fizikal seperti lampin, tempat tidur, pakaian dan keperluan-keperluan fizikal yang lain. Tetapi jarang sekali orang yang menyediakan keperluan untuk otak bayi yang sedang membangun pesat. Ketika lahir bayi biasanya mempunyai 1,000,000,000,000 (1 trilion) hingga 1,200,000,000,000 (1.2 trilion) sel otak. Dalam masa setahun, saiz otak menjadi tiga kali ganda.


Masa yang paling sesuai untuk mengajar kanak-kanak membaca ialah ketika otak mereka sedang pesat membangun iaitu 25 peratus ketika lahir, 50 peratus ketika berumur enam bulan, 85 peratus ketika berumur tiga tahun dan 95 peratus ketika mencapai umur enam tahun. Maklumat yang diperolehi daripada kajian ini menunjukkan kadar kepesatan otak membangun dan berkembang ialah semasa berumur 0 hingga 3 tahun. Jika rangsangan dan kemahiran membaca diberikan pada masa ini, ia akan memberi kesan yang paling optimum untuk meningkatkan tahap kecerdikannya.

Kanak-kanak adalah golongan yang paling cepat mempelajari bahasa. Keupayaan mereka menambah perbendaharaan kata semakin bertambah setiap hari kerana mereka sentiasa bertanya dan ingin belajar. Apabila mencapai umur 5 tahun, dianggarkan 10,000 perbendaharaan kata telah terbentuk dalam diri mereka.
Kecerdikan kanak-kanak mempelajari bahasa boleh diperhati daripada keupayaan memilih perkataan tertentu dan menyusunnya menjadi struktur ayat yang difahami. Kanak-kanak boleh diajak bercakap dan membaca dengan betul sebelum berumur lima tahun. Oleh yang demikian, kemahiran membaca pada peringkat awal dapat mempercepatkan proses penguasaan sesuatu bahasa di kalangan kanak-kanak.

3. Persediaan awal ke sekolah
Pada hari ini, hampir sebahagian besar kanak-kanak didedahkan kepada kemahiran membaca ketika memasuki Darjah Satu. Namun begitu, ramai juga yang gagal membaca walaupun telah belajar tiga atau empat tahun di sekolah. Keadaan ini amatlah mengecewakan kerana kejayaan dan masa depan mereka telah mula diramalkan amat gelap. Bagi ibu bapa yang mengambil berat tentang kemahiran membaca terhadap anak-anak akan mendapati jauh lebih mudah mengajar anak-anak di peringkat umur tiga tahun berbanding enam tahun kerana kemampuan mengingat dan menyerap maklumat sangat kuat dan pantas.

Kanak-kanak belajar membaca awal biasanya lebih terkehadapan, lebih maju dan boleh bersaing dengan rakan-rakan apabila menjejakkan kaki ke alam persekolahan. Apabila diuji dengan peperiksaan, tentulah mereka lebih cepat dan tangkas memberi jawapan.

Membaca membina karektor. Kepetahan bercakap berkembang sedikit demi sedikit jika karektor ini dibina, dibentuk dan dikembangkan dengan bersistematik. Terlalu banyak faedah membaca kepada kanak-kanak jika ibu bapa memberi tumpuan khas kepada mereka. Manfaat membaca terlalu besar apatah lagi kanak-kanak. Membaca awal bererti memilih untuk maju dalam hidup. Terdapat empat faedah utama yang akan memberi kelebihan kepada mereka iaitu:

1. Proses pembelajaran menjadi lebih lancar dan mudah
Kanak-kanak yang dapat membaca tentulah akan lebih mudah diberi rangsangan dan dorongan untuk belajar. Kenikmatan membaca di kalangan kanak-kanak memang berbeza daripada orang dewasa kerana semangat ingin tahu mereka sangat tinggi. Budaya ingin tahun ini dapat diperhati apabila mereka sering bertanya. Dengan membaca juga, mereka dapat meluaskan pengetahuan dan pengalaman.

Apa sahaja perkataan yang dilihat akan ditanya dan jika tidak faham, ditanya lagi sehingga mereka berpuas hati. Melalui budaya bertanya inilah akan membentuk budaya ingin tahu. Cuba kita bayangkan, sekiranya 100,000 orang kanak-kanak memasuki alam persekolahan telah dapat membaca dengan lancar dan berkesan, negara akan melahirkan satu generasi pelajar yang celik huruf, pintar dan bijaksana mencari ilmu dalam tempoh 20 tahun sahaja.

2. Seronok untuk ke sekolah
Melalui pembacaan, kanak-kanak dapat menguasai sejuta perkataan. Begitulah kesan kemahiran membaca ke atas kanak-kanak. Sistem pendidikan di sekolah yang menitikberatkan aspek membaca adalah satu saham yang amat besar terhadap kanak-kanak yang tahu membaca.Apabila sudah tahu teknik membaca, mengenal huruf, memahami perkataan dan minat membaca, mereka akan terus membaca di mana-mana sahaja dan bertambah-tambah minat untuk belajar perkara-perkara yang baru di sekolah.

3. Rangsang minat membaca
Membaca adalah jambatan ilmu. Dengan ilmu manusia dipandang mulia sama ada di dunia ataupun akhirat. Minat membaca dalam diri kanak-kanak boleh dirangsang dan dibentuk ketika mereka berumur 18 bulan lagi. Dengan menghadiahkan buku ketika anak-anak mendapat kejayaan dalam pelajaran adalah satu dorongan yang amat bermakna untuk menambah minat membaca mereka.

4. Mempercepatkan proses kematangan
Kemahiran dan keupayaan membaca bukan sekadar membantu anak-anak berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan tetapi membantu meningkatkan proses perkembangan mental, psikologikal dan sosial yang lebih baik.

Keempat-empat faedah ini boleh dikembangkan lagi supaya ibu bapa dapat memaksimumkan potensi perkembangan mental dan fizikal anak-anak khususnya anak perempuan. Di dapati kanak-kanak perempuan lebih cepat matang dan bersedia dengan corak fikir yang lebih mencabar. Pada era teknologi maklumat sekarang, pencerapan ilmu paling banyak diperolehi melalui pembacaan dan pemerhatian. Faedah membaca akan nampak nyata pada orang yang mengamalkan ilmu atau idea yang diperolehi daripada proses membaca. Bagi kanak-kanak, membaca membuatkan mereka mempelajari sesuatu yang baru dan menambah tahap kecerdikan untuk bertanya, mengambil tahu dan melaksanakan apa yang mereka tahu. Sebab itulah kita lihat kanak-kanak yang bijak, keupayaan sosialnya lebih baik kerana proses membaca dapat membentuk pemikiran mereka untuk berfikir dan membuat keputusan yang bersesuaian dengan tahap usia masing-masing.

Pendidikan adalah survival bagi masa hadapan seorang kanak-kanak. Mereka harus dibekalkan dengan segala persediaan awal yang dapat mempastikan survival mereka dalam persekitaran masyarakat yang bersaing. Salah satu survival kanak-kanak ialah kemahiran membaca supaya dapat bersaing dan bergerak ke hadapan menghadapi cabaran. Dunia hari ini tidak lagi memberi semuanya percuma sebaliknya kita perlu berusaha untuk mendapatkan apa sahaja. Bagi mendapatkannya, kita perlu menyediakan kanak-kanak dengan kemahiran. Dan kemahiran yang paling berharga ialah membaca.

Penulis:Zahir Zainuddin
Tinggalkan sebarang komen / cadangan / pertanyaan anda di sini:
*
*
*
*

Visitor

Nak tanya..?

Followers

 

My Blog List

Designed by Miss Rinda | Inspirated by Cebong Ipiet | Image by DragonArtz | Author by mybabycanread :)